Wednesday, January 6, 2010

Couple itu HARAM ???

EPISOD 1

"Pehh..cun siot !", kata si A sambil membuat bunyi cencurut laut Antartika.

"Ni kalo jadi bini aku ni tak kuar umah la aku nampaknye", kata si B pulak sambil mengenyit-ngenyit matanya yang hanya terbuka setengah sentimeter (cm).

"Huiyyo.. (terkesima)", tak lepas pandangan si C melihat si dia yang terkinja-kinja di tepi jalan. Hampir sahaja cecair yang mengandungi enzim amilase di mulutnya terkeluar daripada tempat tadahan.

Beginilah respon kawan-kawan kita apabila melihat perempuan cantik. Pantang lalu depan mata, habis semuanya dipanah oleh mata-mata liar. Mungkin mereka tidak tahu bahawa panahan mata itu akan berbalik pada mereka sendiri akhirnya. Sedih. Kadang-kadang aku sendiri tak kuat untuk istiqomah dalam hal-hal macam ni. Tapi sentiasalah berdoa moga-moga diberi kekuatan oleh Allah S.W.T. supaya kita dapat melawan dan mendidik nafsu yang tak pernah lesu.

Menjaga pandangan bukannya perkara yang boleh dipandang remeh. Ia merupakan suruhan Allah S.W.T. kepada setiap individu Muslim yang beriman.

Firman Allah S.W.T dalam Surah An-Nur ayat 30 :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."
Juga dalam Surah An-Nur ayat 31 :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka.."
Jika seseorang individu itu tidak menjaga pandangannya, mungkin dia akan terjebak ke dalam maksiat yg lebih besar iaitu ZINA. Kalau ditafsirkan pemerhatian dan mungkin sedikit pengalaman aku, sequence ke arah zina ni lebih kurang begini:

Pandangan > Lintasan hati > Khayalan > Keinginan > Tindakan > Zina kecil > Zina besar


Sebenarnya sequence ni memang reliable jika difikir secara logik akal yang sihat. Malah, ramai ulama-ulama dan ustaz-ustaz yang berpendapat sama seperti pendapat yang aku terangkan di atas tu, iaitu zina besar bermula daripada zina kecil, yang akhirnya bercambah menjadi dahan-dahan maksiat yang merimbun. Zina bermula dengan pandangan yang tidak terkawal. Daripada pandangan sedemikian, kita semakin mendekati zina.


Untuk lebih faham lagi konsep 'mendekati' di sini, kita ambil satu contoh. Katakan Ali ingin ke kedai yang jaraknya, let say 1220 langkah. Apabila Ali melangkah setapak keluar daripada rumah itu sahaja dia sudah dikira mendekati kedai tersebut, setuju? Jadi, pandangan yang tidak terkawal itu ibarat langkah pertama ke arah zina.

Part 'Tindakan' tu dah bersepah di merata-rata tempat. Paling berlambak di shopping complex & universiti. Untuk pengetahuan anda, disekeliling aku pun ada sebenarnya. Apa benda 'Tindakan' yang aku maksudkan ni sebenarnya? "COUPLE".full stop.

Jika pandangan sahaja dah dikhuatiri akan membawa kepada zina, apatah lagi bercouple? Orang yang berakal sihat sepatutnya tiada masalah nak jawab soalan ni.

Aku anggap mereka yang bercouple ini tidak tahu hukum yang sebenarnya. So, artikel ni adalah bertujuan untuk berkongsi dan MEMBERI TAHU. Jika ada sesiapa yang tengah bercouple atau hampir nak bercouple,dan merasakan maklumat dalam artikel ni akan menghalang niatnya untuk bercouple, maka hati-hati. Syaitan itu sentiasa mengajak ke arah kejahatan. Jika ingin mengikut nafsu syaitan juga, then go for it. Tapi ingat azab Allah di akhirat nanti takkan ada penangguhan.Selepas membaca artikel ni fikirlah kenapa Islam mengharamkan gejala 'couple' sebelum nikah.
EPISOD 2

InsyaALLAH dalam Episod 2 ni aku nak tekankan lagi mengenai penjelasan 'mendekati' atau 'menghampiri' kerana aku merasakan bahagian ni penting untuk kita fahami betul-betul supaya kita dapat mematuhi perintah Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra' ayat 32 iaitu :

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
Terang lagikan bersuluh. Kekejian perbuatan zina ini bukan dinyatakan oleh manusia, tetapi dinyatakan oleh Yang Maha Mengetahui. Apabila Allah S.W.T sendiri mengatakan zina ini keji dan satu jalan yang buruk, sudah pasti kecelakaannya maha dahsyat.

Berbalik kepada penjelasan tentang 'menghampiri', sedangkan menghampiri zina sudah diharamkan, inikan pula melakukannya. Contoh menghampiri zina adalah seperti melihat gambar lucah, berdua-duaan lelaki dan wanita ajnabi, pergaulan bebas antara jantina berlainan (ikhtilat) dan juga melihat aurat orang lain.

(contoh yang paling banyak : berjalan berdua-duaan dan beriring-iringan. Walaupun tak berpegangan tangan, tapi amat menjelikkan)
Kuatkanlah hati kita wahai kawan-kawanku sekalian, supaya kita berupaya menegakkan kebenaran yang satu ini. Jangan sesekali diikut tuntutan nafsu. Jangan sesekali patuh pada ajakan syaitan laknatullah dan tertipu dengan tipu daya mereka. Ingatlah bahawa mereka pernah menipu moyang kita, Nabi Allah Adam a.s. dan Hawa.

Surah Al-A'raf ayat 20 :

"Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)."


Jika kita lihat Surah Al-A'raf ayat 19, Allah telah berfirman kepada Adam dan Hawa supaya jangan MENGHAMPIRI sepohon pokok di syurga. Larangan sebenarnya adalah supaya Adam dan Hawa tidak memakan buah pokok tersebut.

"Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim."

Merujuk kepada larangan Allah S.W.T. kepada kita supaya tidak menghampiri sesuatu itu, amat jelas bahawa perkara yang dilarang itu dapat memberi mudarat yang besar sehinggakan menghampirinya pun tidak dibenarkan! Ini bertujuan untuk menghindari perkara-perkara mungkar sehingga ke akar-akarnya. Lihatlah betapa kasihnya Allah kepada kita.

Adakah kita ingin mengulang kesilapan Adam dan Hawa sedangkan pengajaran sudah ada di depan mata? Bodohlah orang-orang yang membutakan mata hatinya tanpa ingin mengambil pelajaran.

Mengikut kaedah usul fiqh, sesuatu yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. So, equation ber'couple' sebelum nikah adalah :

couple = menghampiri zina
menghampiri zina = haram
maka, couple = haram (very simple equation)



Tapi, juga ingin diingatkan di sini, apabila ber'couple' sebelum nikah itu hukumnya haram, bukanlah bermakna kita boleh bergaul dengan jantina berlawanan sesuka hati dengan menjadikan alasan "kami tak bercouple, kami hanya berkawan".

Berbalas-balas mesej di YM dan tidak lupa mengucapkan selamat pagi dan malam kepada 'kawan'nya yg satu itu diselangi dengan perbualan telefon yang berpanjangan tanpa membicarakan hal-hal yang penting bukanlah jaminan bahawa kita tidak mendekati zina. BUKAN PERKATAAN 'COUPLE' ITU YANG MEMBUATKAN HUKUMNYA HARAM MELAINKAN PERBUATAN KETIKA BER'COUPLE' ITU SENDIRI. Jika anda tidak ber'couple' sekali pun anda dilarang bergaul bebas tanpa batas syara' antara lelaki dan wanita ajnabi.

Ada suatu ketika seorang kawan mempersoalkan tentang bagaimana hendak mengenal calon suami/isteri jika tidak ber'couple'. Ingatlah bahawa Islam itu bersifat syumul. Tidak ada suatu hal pun tidak diajar oleh Islam. Islam telah pun menyediakan garis panduan yang paling sempurna tanpa melibatkan maksiat dalam hal berkaitan mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.

Amat menyedihkan apabila orang Islam sendiri yang menanyakan soalan sebegini. Ia tidak sepatutnya berlaku. Apa ertinya kita menganut Islam jika kita tidak mengetahui ajaran-ajarannya?
PISOD 3: Cara-cara mengenali pasangan selain daripada ber'couple'.

Sebagai agama yang paling sempurna dan satu-satunya agama yang diredhai Allah, Islam telah pun menggariskan panduan untuk diikuti oleh penganutnya berkenaan hal pra-perkahwinan. Cara yg dianjurkan Islam untuk pasangan yang ingin berkahwin kenal-mengenali adalah melalui cara pertunangan.

Tapi amat menyedihkan apabila paradigma masyarakat tentang konsep pertunangan sudah tersimpang jauh dari kebenaran. Buktinya, pertunangan yang sepatutnya dijadikan tempoh untuk lelaki & wanita HANYA saling mengenali telah dijadikan 'lesen' untuk pasangan tersebut berdua-duaan tanpa mahram, ibarat pasangan yang sudah bernikah. Konsep ini salah sama sekali !

Memetik kata-kata Ustaz Hassan Din dalam Al-Kuliyyah di bawah topik "Jodoh" di TV3 bertarikh 28 Julai 2006 berkenaan konsep pertunangan dalam Islam, beliau berkata, "Dalam masa pertunangan inilah kedua-dua pihak lelaki dan wanita akan saling mengenali antara satu sama lain, bagi memastikan adakah ini merupakan pasangan hidupnya yang sebenar. Jika kedua-duanya sudah bersetuju, barulah pernikahan dilangsungkan."


Sebagai contoh, katakan Superman sudah bersedia untuk berkahwin (maksud 'bersedia' di sini adalah bersedia dari segi kewangan, keadaan, mental serta fizikal). Dan sekarang adalah masa yang sangat sesuai dan ideal untuknya mendirikan rumah tangga. Pada masa yang sama juga dia sudah mempunyai calon sendiri, katakan si 'Cinderella' (bukan nama sebenar).

Superman berhasrat untuk memperisterikan si 'Cinderella'. Superman yang sangat faham akan konsep pertunangan pun terus berjumpa dengan kedua ibu bapa si 'Cinderella' dan menyatakan hasratnya untuk menyunting bunga rafflesia di taman (merisik). Apabila ibu bapa si 'Cinderella' sudah bersetuju dan si 'Cinderella' juga sudah bersetuju apabila diberitahu oleh ibu bapanya, Superman pun menghantar rombongan keluarganya untuk meminang si 'Cinderella'. Tidak timbul langsung hal-hal maksiat kan? Kan cantik tu. Dan apabila si 'Cinderella' sudah menjadi tunangan Superman, maka HARAM bagi lelaki lain meminang si 'Cinderella', walaupun lelaki itu adalah 'Professor Gadget' (bukan nama sebenar).

"Lelaki boleh la, kalau perempuan? Takkan perempuan nak merisik lelaki pula, perigi cari timba namanya tu". Mungkin inilah suara-suara yang bakal berkumandang memberikan respon. Ok. Mari kita sama-sama menelusuri kembali sirah perkahwinan agung, Muhammad S.A.W. dan Siti Khadijah r.a.. Saya yakin ramai yang akan mengakui bahawa perkahwinan agung ini dimulakan oleh Siti Khadijah r.a. dahulu. Ini telah pun diajar dalam subjek Sirah di sekolah agama. Pada mulanya, Siti Khadijah r.a. menyatakan hasrat hatinya kepada pakcik Rasulullah S.A.W. iaitu Abbas, agar merisik baginda.


Setelah baginda bersetuju, barulah keluarga baginda menghantar rombongan meminang Siti Khadijah r.a.. Begitulah yang diajarkan sirah kepada kita. Lalu, apa salahnya jika wanita yg memulakan dahulu? Malah wanita sebegini lebih mulia daripada wanita yang hanya menunggu dipinang oleh putera raja kayangan.

Ustaz Hassan Din juga turut menegaskan bahawa pasangan yang bertunang diharamkan bergaul bebas seperti suami isteri. Mereka masih tetap terikat dengan batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi. Tempoh bertunang hanyalah tempoh kenal-mengenal, bukannya tempoh melayan-layan perasaan cinta. Beliau menambah,

"Dan jika dalam tempoh pertunangan itu didapati kedua-dua pasangan ini tidak secocok atau tidak serasi, maka pertunangan bolehlah diputuskan secara baik melalui persetujuan kedua-dua belah pihak."
Jika konsep pertunangan ini dilihat dengan mata hati yanang diselaputi iman dan taqwa, akan terzahir berbagai hikmah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Bijaksana. Selain menghindari maksiat, pertunangan juga dapat memelihara maruah kedua-dua keluarga yang terlibat. Kalau pun pertunangan diputuskan, kedua-dua pihak keluarga masih dapat meneruskan silaturrahim yg sudah terbina, tanpa rasa dendam dan benci.

Maka dengan lahirnya ketiga-tiga episod ni, diharap jelaslah kepada kita serba sedikit tentang hukum ber'couple' sebelum nikah dan bagaimana cara yang sebenarnya untuk kita mengenali pasangan untuk tujuan pernikahan.
Dengan ini, saya menyeru diri saya sendiri dan kawan-kawan sekalian supaya tinggalkanlah maksiat cinta nafsu syaitan laknatullah ini secepat mungkin. Bagi mereka yang ber'couple' tu, cepat-cepat lah break up. Kita ni dah la amal tak banyak, sembahyang pula ada yang tinggal. ditambah pula dengan dosa 'couple' lagi (dosa berdua-duaan, zina mata, zina telinga, zina tangan, zina kaki dan zina hati). Dibuatnya esok mati,macam mana? Memanglah dosa masing-masing tanggung, tapi jika dah mati orang lain juga yang tolong mandikan, kapankan, tanamkan.


Dan janganlah pula kita menjadi orang yang menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya. Firman Allah dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 23 :

"Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?"
Apabila sudah diketahui hukum-hukum Allah, maka hendaklah kita patuhinya. Yang haram segera ditinggalkan. Harap kita tidak menjadi seperti mereka yang di dalam firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Jaathiyah ayat 7-11 :

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa; (7) Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah dia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (8) Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, dia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina. (9) Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada Neraka Jahanam (yang disediakan untuk mereka) dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar. (10) Al-Quran ini ialah hidayat petunjuk yang cukup lengkap dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (11)
Bagi mereka yang mungkin sudah agak lama mengamalkan maksiat cinta ini dalam kehidupan seharian mereka, mungkin agak sukar untuk meninggalkannya. Namun ingatlah firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 :

"..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."

Dan semoga kita semua diberi kekuatan iman dan taqwa oleh Allah S.W.T. untuk menegakkan Islam di dalam diri kita. Kerana ramai kawan-kawan kita di luar sana yang sudah tahu halal haram tapi masih melakukan yang ditegah mungkin disebabkan mereka tak punya kekuatan. Dan percayalah kepada qada' dan qadar Allah S.W.T., jika ada jodoh takkan ke mana, jika bukan di dunia yang sementara ni, di syurga yang kekal abadi Insya Allah. Tapi jika bukan jodoh, berkorbanlah nyawa hatta anda mempunyai 100 nyawa sekalipun, nescaya takkan kesampaian.


Wallahua'lam.

Jodoh Itu Ketentuan Tuhan

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk keseberang. Kalau panjang jambatannya, jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda dalam doa-doa lewat solat. Allah itu Maha Mendengar. Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Yakinlah pada janji-Nya kerana kita orang yang beriman.

Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti. Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah. Kita juga selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah dihati kita, alangkah bahagianya orang itu. Hakikatnya, apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah, kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan.


Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh dihadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang motosikal itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta. Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebagai saluran yang betul untuk melepaskan syahwat tapi ramai juga orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik melangkahkan kaki kea lam berumahtangga. Bukankah dangan ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut bertambah? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka? Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asal impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu bergelar ibu ayah, belajarlah dulu. Jika belum bersedia untuk bersabar dengan karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi setelah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti segala tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui rahsia-rahsianya. Berkahwinlah demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai.

Kadangkala Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, kemana menghilangnya sinar. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi. Cinta yang disemadikan tidak mungkin layu selagi ada imbas kembali. Hati remuk kembali kukuh selagi ketenangan dikecapi. Jiwa yang pasrah bertukar haluan selagi esok masih ada.Parut lama pastikan sembuh selagi iman terselit di dada. Kekayaan yang paling kaya adalah akal, kemiskinan yang paling besar adalah jahil, keburukan yang paling hodoh adalah sesat.

Tidak berguna adanya mata andai tidak dapat melihat, tak guna adanya hati kalau tak tahu menilai. Nilailah hati itu dengan teliti sebelum pergi mengundur diri kerana segalanya bermula dengan niat yang bertempat di hati.

99 Langkah Menuju Kesempurnaan Iman

1. Bersyukur apabila mendapat nikmat
2. Sabar apabila mendapat kesulitan
3. Tawakal apabila mempunyai rencana/program
4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan
5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan
6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan
8. Jangan usil dengan kekayaan orang
9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang
10. Jangan sombong jikalau memperolehi kejayaan

11. Jangan tamak kepada harta
12. Jangan terlalu bercita-cita akan sesuatu kedudukan
13. Jangan hancur karena kezaliman
14. Jangan goyah kerana fitnah
15. Jangan mempunyai keinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram
17. Jangan sakiti ayah dan ibu
18. Jangan usir orang yang meminta-minta
19. Jangan sakiti anak yatim
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)
23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk
24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjemaah di masjid
25. Biasakan diri dengan solat malam
26. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat
28. Sayangi dan santuni fakir miskin
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah
30. Jangan marah berlebih-lebihan

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan
32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah
33. Berlatihlah mengkonsentrasikan fikiran
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan
36. Jangan percaya ramalan manusia
37. Jangan terlampau takut miskin
38. Hormatilah setiap orang
39. Jangan terlampau takut kepada manusia
40. Jangan sombong, takabbur dan besar kepala

41. Berlakulah adil dalam segala urusan
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran
45. Perbanyakkan silaturrahim
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam
47. Bicaralah secukupnya
48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya
49. Hargai waktu, disiplinkan diri mengurus waktu dan manfaatkan waktu
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga
53. Makanlah secukupnya, tidak berkurangan dan tidak berlebihan
54. Hormatilah kepada guru dan ulama
55. Sering-sering berselawat kepada nabi
56. Cintai keluarga Nabi saw
57. Jangan terlalu banyak hutang
58. Jangan terlampau mudah berjanji
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara
60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti membicarakan hal yang tidak memberi faedah.

61. Bergaullah dengan orang-orang soleh
62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi
66. Jangan membenci seseorang karena fahaman dan pendiriannya
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang memperolehi kesulitan
70. Jangan melukakan hati orang lain

71. Jangan membiasakan diri berkata dusta
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76. Jangan membuka aib orang lain
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita
78. Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana
79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan
80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya

81. Jadilah manusia yang selalu memberi manfaat untuk agama, bangsa dan negara
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa
85. Hargai prestasi dan pemberian orang
86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan
88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kondisi diri kita
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita menjadi terganggu
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana

91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina
93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri
97. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan
98. Yakinlah bahawa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan
99. Jangan sukses di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang

Berjihad dengan Ilmu dan Dakwah

Sesungguhnya menuntut dan menyampaikan ilmu itu amat besar manfaatnya kepada individu dan masyarakat umat Islam. Menuntut ilmu agama bermula dari aqidah, fiqh, tafsir, akhlak, sehinggalah kepada pemahaman prinsip-prinsipnya yang tulen adalah merupakan suatu tuntutan yang amat besar lagi tinggi keutamaannya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ وَإِذَا قِيلَ انْشُزُوا فَانْشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Umar radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Ketahuilah bahawa Nabi kamu telah bersabda: “Sesungguhnya Allah akan mengangkat sesuatu kaum dan merendahkan suatu kaum yang lainnya dengan Kitab Suci ini”.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim)

Dari sini menunjukkan bahawa menuntut ilmu (mempelajari agama) itu adalah suatu keperluan yang besar yang perlu digalas dan dikuasai oleh setiap muslim. Ini adalah sebagaimana Allah memerintahkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri supaya berdoa agar ditambahkan ilmu.

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ وَلا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يُقْضَى إِلَيْكَ وَحْيُهُ وَقُلْ رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا

“Maka Maha Tinggi Allah Raja Yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum disempurnakan penyampaiannya kepadamu, dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan”.
(Surah Thoha, 20: 114)

Ayat ini adalah merupakan satu dalil yang sangat jelas yang menunjukkan berkenaan keutamaan ilmu. Kerana Allah sendiri telah memerintahkan kepada Nabi-Nya agar meminta ditambahkan ilmu.

Di antara sebab-sebab keutamaannya adalah kerana dengan ilmu, manusia mampu mengenal Allah. Dengan ilmu, manusia akan mengerti tujuan sebuah kehidupan. Dengan ilmu, manusia akan mengerti pentingnya konsep uluhiyah dan ubudiyah terhadap Tuhannya. Dengan ilmu, pendirian manusia boleh sama ada berubah atau semakin teguh. Dengan ilmu, manusia mampu memahami agama dari asasnya sehingga ke cabang-cabangnya. Dengan ilmu jugalah, umat Islam akan mampu beramal dengan sempurna. Dengan ilmu juga umat Islam akan memahami perintah dan pesanan Nabi serta para ulamanya.

Di atas kesan-kesan tersebut, manusia menjadi tunduk disebabkan dia mengenal betapa rendahnya diri di hadapan Tuhannya.

Oleh kerana itulah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَابِّ وَالأنْعَامِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ كَذَلِكَ إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah yang paling takut (tunduk) kepada-Nya adalah para ulama (orang yang berilmu).”
(Surah Fathir, 35: 28)

Dengan sikap itu juga, umat Islam akan diangkat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala ke suatu darjat yang tinggi berbanding dengan kaum yang selainnya.

“...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Mujadilah, 58: 11)

Orang-orang yang berilmu adalah mereka yang mampu menghadapi kepelbagaian bentuk ujian, rintangan, musibah, serangan, dan syubhat yang mendatang dengan sikap yang penuh tenang dan sabar. Dengan ilmu yang mereka kuasai, mereka mampu untuk membezakan kepelbagaian bentuk permasalahan yang muncul yang sekaligus mampu menentukan pendirian (sikap) dan jalan keluar yang tepat buat dirinya dan orang lain. Ini adalah sebagaimana yang Allah Subhanahu wa Ta’ala singkapkan berkenaan peristiwa yang terjadi ke atas Qarun:

فَخَرَجَ عَلَى قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (٧٩)وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلا يُلَقَّاهَا إِلا الصَّابِرُونَ

“Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya di atas kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang sangat ingin kepada kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun, sesungguhnya dia benar-benar memiliki keuntungan yang besar”. Berkatalah orang-orang yang dikurniakan dengan ilmu: “Kecelakaan besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperolehi pahala itu, melainkan oleh orang-orang yang sabar”.
(Surah al-Qasas, 28: 79-80)

Allah juga turut menjelaskan bahawa orang-orang yang berilmulah yang mampu memahami dan menganalisa hakikat kepelbagaian permasalahan yang terjadi.

وَتِلْكَ الأمْثَالُ نَضْرِبُهَا لِلنَّاسِ وَمَا يَعْقِلُهَا إِلا الْعَالِمُونَ

“Dan itulah contoh-contoh yang kami buat untuk manusia, dan tiada yang memahaminya melainkan orang-orang yang berilmu.”
(Surah al-Ankabut, 29: 43)

Atas sebab itu jugalah dapat kita fahami bahawa dengannya (ilmu) umat Islam akan pergi berjihad sama ada di medan perperangan mahu pun di medan dakwah. Tanpa ilmu, umat Islam tidak akan mampu memberi sesuatu kepada yang lain, malah Islam itu sendiri tidak akan mampu ditegakkan jika tidak dibawa dengan ilmu. Inilah di antara apa yang ditunjukkan melalui Surah al-Furqon, di ayatnya yang ke-51 dan 52.

Ini jugalah sebagaimana apa yang dimaksudkan oleh para ulama, di antaranya imam Ibnul Qayyim rahimahullah yang telah menjelaskan bahawa menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu itu termasuk berjihad di jalan Allah. Ini adalah berdasarkan perkataan beliau yang terkandung di dalam kitabnya, Miftahu Daris Sa’adah:

“Menuntut ilmu disebutkan juga sebagai jihad fi sabilillah kerana dengannya agama Islam ini akan ditegakkan, sebagaimana juga agama Islam yang ditegakkan melalui medan peperangan. Jadi, Islam itu ditegakkan dengan ilmu dan peperangan.

Dengan itulah, jihad ada dua jenis:

Pertama:
Jihad dengan tangan dan senjata. Jihad jenis ini semua orang mampu turut serta di dalamnya.

Kedua:
Jihad dengan hujjah dan bayan (ilmu). Jihad jenis ini merupakan jihad dari kalangan orang-orang yang khusus iaitu dari kalangan ulama. Ini merupakan jihad yang hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang menguasai ilmu. Dan jihad kedua ini lebih utama daripada jihad yang pertama. Ini adalah disebabkan oleh betapa besarnya manfaat, tinggi risikonya, dan sangat banyak musuh-musuh yang akan dihadapinya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman di dalam Surah al-Furqon di mana surah ini adalah surah Makkiyyah:

وَلَوْ شِئْنَا لَبَعَثْنَا فِي كُلِّ قَرْيَةٍ نَذِيرًا (٥١)فَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا

“Dan sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami utus kepada setiap negeri seorang pemberi peringatan (rasul), maka janganlah kamu taati orang-orang kafir dan berjihadlah melawan mereka dengan al-Qur’an dengan jihad yang besar.”
(Surah al-Furqon, 25: 51-52)

Malah jika kita teliti pengertian jihad itu sendiri, iaitu menurut apa yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya yang masyhur, Fathul Bari dan Ibnu Manzur rahimahullah di dalam Lisanul Arab, ia sebenarnya mencakupi perbuatan menegakkan hujah (dengan perkataan atau lisan) terhadap orang-orang kafir dengan cara mendakwahi, menyerang, dan menahan (menangkis hujah) mereka dengan bersungguh-sungguh serta dengan sepenuh tenaga dan usaha. Dengan ini juga bermaksud, jihad itu tidaklah terhad hanya sekadar turun di medan perperangan, tetapi juga adalah dengan penegakkan hujah-hujah ilmiyah kepada kaum yang tidak mengerti dan ingkar.

Berdasarkan surah al-Furqon ayat 51-52 tadi juga sebenarnya ia turut menjelaskan sejak awal-awal lagi bahawa Allah memerintahkan supaya tidak mentaati orang-orang kafir dan supaya berjihad terhadap mereka. Maka, jelaslah di sini bahawa pada fasa tersebut, orang-orang kafir tidak diperangi melainkan dengan hujah, bayan, dan menyampaikan isi kandungan al-Qur’an itu sendiri dan bukanlah dengan pedang mahu pun ketenteraan semata-mata.

Demikianlah juga dengan persoalan orang-orang munafik yang duduk hidup di bawah kekuasaan umat Islam yang mana Allah turut memerintahkan dengan kalimah jihad kepada umat Islam ke atas mereka.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.”
(Surah at-Taubah, 9: 73)

Ini adalah sepertimana yang diketahui bahawa orang-orang munafik itu tidak diperangi dengan pedang, dan mereka juga tidak memerangi umat Islam dengan ketenteraan. Tetapi, mereka (orang-orang munafik) diperangi di atas nama jihad dengan menegakkan hujah-hujah ilmiyah dari al-Qur’an dan perkataan Nabi-Nya.

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah turut menegaskan di dalam kitabnya yang lain, I’lam al-Muwaqqi’in bahawa ketaatan kepada umara’ (pemimpin) itu adalah mengikuti ketaatan kepada ulama. Maka, menuntut ilmu dan mempelajarinya adalah termasuk jihad di atas jalan Allah.

Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu juga pernah berkata bahawa,

“Sesiapa yang mengatakan bahawa pergi berulang-alik mencari ilmu itu bukan sebahagian dari jihad, maka sesungguhnya akal dan fikirannya telah lemah.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abdil Barr)

Begitulah dia sebuah hakikat yang kian dipandang remeh, padahal ia adalah sebuah tuntutan besar bagi setiap manusia dari kalangan umat Islam. Menuntut ilmu dari ilmu-ilmu agama semenjak zaman-berzaman sehinggalah ke masa ini bukanlah sebuah usaha yang boleh ditinggalkan, bahkan ia adalah sebuah perjuangan yang dengannya umat Islam akan berjihad menegakkan Tauhid bermula dari dalam diri masing-masing sehinggalah ke setinggi-tinggi kemampuan ke atas segenap manusia umumnya.

Semoga kesarjanaan ilmu di dalam bidang agama ini mampu ditegakkan dan kembali dipandang tinggi oleh umat Islam seluruhnya. Hanya dengan ilmu umat Islam akan kembali dimuliakan, dan dengan ilmu itu jugalah umat Islam bakal kembali berjihad dengan sebesar-besar jihad.

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata:

“Sungguh aku mengetahui (menguasai) satu bab dari sesuatu ilmu itu sama ada berkenaan perintah atau pun larangan, ia adalah lebih aku sukai berbanding dengan 70 kali pertempuran di medan jihad.”